Perbezaan Insuran
Konvensional & Takaful
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Ramai
yang kurang memahami beza di antara praktis yang dilakukan oleh
syarikat Insuran dan Takaful. Setelah saya menulis tentang terdapat
unsur gharar dan riba di dalam insuran konvensional. Maka timbul dakwaan
bahawa jika demikian, takaful juga mengandungi proses yang sama. Lalu,
bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful?.
Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan
apabila musibah mendatang.?
Jawapan
mudah saya adalah, syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad
‘Mu'awadah Maliah' yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional
kepada aqad Tabarru'at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak
terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk
jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.
Contoh
mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah
menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda
beri? Jawapnya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah
sumbangan baik dari satu pihak, tatkala itu tidak banyak syarat
diperlukan untuk melaksanakan aqad derma ini.
Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa aqad. Asas asasnya adalah :-
- a) Tabarru' dan Mudarabah
- b) Wakalah dan Tabarru
Saya
tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, cukup
saya sertakan gambar rajah bagi kedua-dua bentuk agar ia dapat memberi
sedikit gambaran awal kepada para pembaca. ( Malangnya saya gagal
memasukkan gambar rajah ini )
1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru'
Keterangan ringkas
: Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi
menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful
apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan
mengambil sejumlah upah (al-Ujr) atas sebagai kos pengurusannya. Di
samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang
belum didermakan dan atas dasr Ju'alah, syarikat akan mengambil satu
lagi jumlah upah sekiaranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan
yang diusahakannya itu.
2) Takaful Model Tabarru dan Mudarabah
Keterangan ringkas
: Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah
tertentu atas aqad tabarru', pihak syarikat akan menguruskan tabung
takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan
keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak
syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai
penghargaan penyertaannya.
Kesimpulan;
perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh
Insuran konevsnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini
berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad
derma (tabarru') atau (wakalah).
Berikut pula perbezaan antara keduanya dalam bentuk jadual ;-
Konvensional | Takaful |
Kontrak Mu'awadah (Pertukaran Jual Beli) antara penanggung insurans dengan pohak yang diinsurankan | Kontrak Tabbaru' ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan. |
Pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insuran | Peserta membuat caruman ke dalam skim. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim. |
Penanggung insuran bertanggung jawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnya (kumpulan wang insuran dan kumpulan wang pemegang saham) | * Pengendali Takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar Takaful daripada kumpulan wang takaful. |
* Sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali Takaful akan menyediakan (Qardhul Hasan) pinjaman tanpa faedah untuk menampung kekurangan berkenaan. | |
Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan Shariah | Aset kumpulan wang Takaful HANYA boleh dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah. |
Wang pelanggan dianggap wang syarikat insuran dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh pelanggan. | Wang pencarum tidak di kira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh pengendali |
Keuntungan yang dihasilkan dari kumpulan wang pencarum adalah dimiliki sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah objektif utama syarikat insuran. | Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri. Baki keuntunaghn adalah milik tabung kumpulan wang pencarum. |
Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari 'surplus' | Lebihan, untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada pencarum. |
No comments:
Post a Comment